Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 6 April 2023.

1. China bantah 'transit' Tsai Ing-wen di AS

China tegas membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengizinkan pemimpin Taiwan, Tsai Ing-wen "transit" di AS, kata jurucakap Kementerian Luar China pada Khamis.

2. Setiausaha Agung ASEAN, Duta Khas PBB bincang situasi Myanmar

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn menerima kunjungan Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Dr Noeleen Heyzer, di ibu pejabat Sekretariat ASEAN di sini hari ini.

3. Seoul dakwa Korea Utara sudah sedia jalankan ujian nuklear pada "bila-bila masa"

Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong-sup pada Khamis mendakwa bahawa Korea Utara sudah bersedia untuk menjalankan ujian nuklear "pada bila-bila masa."

4. Dua maut, tiga hilang helikopter terhempas di Vietnam

Sebuah helikopter terhempas di utara Vietnam pada Rabu, mengorbankan dua orang dan menyebabkan tiga lagi hilang, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Vietnam (VNA).

5. Azerbaijan utamakan hubungan rapat dengan Malaysia - Presiden Aliyev

Azerbaijan amat mementingkan hubungan persahabatannya dengan Malaysia, kata Presidennya Ilham Aliyev sempena ulang tahun ke-30 jalinan hubungan dua hala antara kedua-dua negara pada Rabu.

6. McCarthy adakan pertemuan dengan Presiden Taiwan di California

Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen di California pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

7. Robert F. Kennedy Jr. akan sertai pilihan raya presiden AS 2024

Anak saudara kepada bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, Robert F. Kennedy Jr, mengumumkan hasratnya untuk turut serta dalam pilihan raya presiden AS 2024.

8. Malaysia kutuk serangan terhadap jemaah Palestin, pencerobohan Israel di Al-Aqsa

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu terhadap jemaah Palestin dan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel, pada Rabu.

9. Guna zon industri Kaesong, Seoul ancam ambil tindakan ke atas Pyongyang

Seoul akan mengambil langkah perlu jika Pyongyang terus menggunakan kilangnya di zon perindustrian bersama yang kini ditutup, di bandar Kaesong di selatan Korea Utara yang didakwa digunakan tanpa kebenaran, lapor Agensi Berita Yonhap pada Khamis.

10. Bekas PM Itali Silvio Berlusconi dirawat di ICU

Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di Milan pada Rabu, menurut pejabat parti politik Forza Italia.